Amal prinsip wala’ elak perpecahan – PM

GOMBAK: Datuk Seri Najib Razak berkata sifat wala’ atau setia yang diamalkan dalam dunia persilatan Melayu wajar diamalkan dalam mana-mana pertubuhan termasuk politik.

Sambil menyatakan kekaguman terhadap sifat itu dalam kalangan pesilat, Perdana Menteri berkata prinsip itu amat penting yang jika diamalkan, dapat membantu dalam perjuangan terutama menjelang pilihan raya.

“Kalau kita wala’ dan setia, kita tidak akan bergaduh antara satu sama lain, arahan pasti dipatuhi, tiada sikap boikot, menembak kaki sendiri dan sabotaj.

“Apabila saya menuntut kesetiaan dan wala’, bukan atas nama peribadi, bukan atas nama Najib Razak tetapi di atas nama pemimpin utama Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan Raksasa Guru-Guru Silat Negara 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Najib berkata, prinsip lain yang terkandung dalam dunia persilatan seperti semangat kental, berhati waja ketika berdepan musuh dan disiplin yang tinggi perlu dihayati sepenuhnya bagi memastikan perpaduan orang Melayu menjadi lebih kukuh.

“Inilah yang akan menentukan zaman kegemilangan kita, walaupun ada kuasa dan memegang tampuk kepemimpinan, dalam sistem demokrasi Parlimen setiap lima tahun, kita kembalikan kepada rakyat dan mereka menentukan untung nasib pihak yang akan diberi kepercayaan untuk memegang tampuk pemerintahan negara,” katanya dipetik BH Online.

Malah Najib menyelar seorang pemimpin berusia 93 tahun yang sanggup menggadaikan prinsip dan janji sehingga menjadi ‘Melayu mudah lupa’ pada dirinya sendiri.

Tanpa menyebut nama pemimpin terbabit, Perdana Menteri berkata, pemimpin lama itu sanggup berpakat dengan DAP yang dibencinya dahulu.

“Kita diajar prinsip kesetiaan dan wala’ serta dididik dengan nilai perjuangan, tetapi malangnya ada pula pemimpin berusia 93 tahun sanggup melanggar prinsip dan janjinya sendiri sehingga menjadi ‘Melayu mudah lupa’ pada dirinya sendiri.

“Kini berpakat pula dengan DAP, parti yang dulu beliau cukup benci serta musuhi. Soalnya siapa nak mempertahankan pesilat dan dunia persilatan. Soal itu tuan puan fikir siapa, sebelah sini atau sebelah sana,” katanya.

Pada majlis sama, Najib turut mengumumkan kerajaan akan menyumbang kepada pembinaan Kompleks Silat Negara yang lokasinya akan ditentukan nanti sebagai menghargai dunia persilatan negara.

Katanya, kerajaan juga meluluskan geran tahunan kepada PESAKA untuk menjalankan aktiviti dan menjaga kebajikan guru serta pesilat di bawah naungannya.

FB Komen

comments