Malaysia halang rakyat Israel masuk negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa konsisten dengan pendiriannya tidak membenarkan mana-mana individu dari Israel, memasuki negara ini, termasuk atlet untuk menyertai acara sukan yang dianjurkan di sini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata ia selaras dengan dasar dan prinsip dipegang sesebuah negara yang mempunyai pendirian atau ‘garis merah’ (redline) dalam sesuatu isu walaupun terpaksa menanggung implikasi tertentu.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan tidak membenarkan atlet Israel menyertai dua acara sukan dianjurkan di negara ini iaitu kejohanan pelayaran remaja dunia di Langkawi tahun lalu dan kejohanan ping pong antarabangsa di ibu negara dua tahun lalu.

“Kementerian memang tidak menyokong pemberian visa kemasukan atlet Israel bagi menyertai acara sukan di negara ini.

“Begitu juga keputusan kita menarik diri menganjurkan Kongres Persekutuan Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada tahun 2017.

“Kita menyerahkan hak penganjuran kepada negara lain kerana tuntutan FIFA memerlukan kita menerima delegasi Israel dan bendera mereka boleh dikibarkan di dalam dan luar persidangan di KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur).

“Saya membentangkan kepada Jemaah Menteri untuk menyerahkan penganjuran kepada negara lain dan Jemaah Menteri bersetuju kerana kita lebih mementingkan pendirian kita berbanding penganjuran Kongres FIFA.

“Kita tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Sukan 2018 (Pindaan) di Dewan Rakyat, hari ini.

FB Komen

comments