Nazri jangka Parlimen dibubar Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran Parlimen pada Jumaat ini.

Beliau meramalkan sidang Dewan Rakyat akan ditangguhkan pada Khamis ini manakala mesyuarat Kabinet pula ditunda ke Jumaat, dan BN pula akan melancarkan manifestonya pada hari berikutnya.

“Ruang untuk orang berteka-teki semakin mengecil. Lagi senang untuk meneka, saya rasa kanak-kanak sekolah boleh memikirkannya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan juga dipetik oleh agensi berita Reuters sebagai menyatakan pandangan yang sama.

“Saya fikir Jumaat ini, mungkin… secara tradisinya kita akan melancarkan pelancaran manifesto selepas pembubaran parlimen, manifesto akan dilancarkan Sabtu ini,” katanya.

Tindakan itu bagi membolehkan ibu segala pilihan raya iaitu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan.

Bagi PRU13, Parlimen dibubarkan pada Rabu, 3 April 2013, manakala manifesto BN diumumkan tiga hari kemudian.

Manifesto BN untuk PRU14 akan diumumkan Sabtu ini di Stadium Bukit Jalil.

Najib mempunyai jadual yang ketat bermula esok hingga Khamis, meninggalkan hari Jumaat sebagai hari pengumuman pembubaran.

Berikutan pembubaran Parlimen, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh dua bulan.

Walau bagaimanapun, tarikh pengundian secara luas dijangka ditetapkan sebelum 15 Mei, untuk mengelakkan bulan Ramadan yang suci.

FB Komen

comments