RM28 juta untuk IPK dan IPD Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan memperuntukkan RM28 juta untuk projek pembangunan dan menaik taraf Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan itu termasuk bagi kerja mengecat semula bangunan, menggantikan lif serta membina Dewan Terbuka yang lebih besar di IPK Kelantan.

“Kerajaan juga menambahkan RM50,000 lagi peruntukan kepada Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di IPK dan setiap RM10,000 kepada PERKEP daerah.

“Kerajaan amat maklum yang PERKEP perlu bantu suami, menaikkan semangat pegawai dan anggota polis. Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk bagi peruntukan ini,” katanya ketika berucap di majlis Pemimpin Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat persiapan Pilihan Raya Umum Ke-14 di IPK Kelantan.

Turut hadir, Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

FB Komen

comments