400 anggota APM pantau ESSZONE mulai 15 April

SANDAKAN: Seramai 400 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan bertugas membantu pemantauan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), mulai 15 April depan.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Azmy Yahya, berkata kesemua mereka dipilih menganggotai pasukan khas itu adalah penduduk tempatan di 10 daerah dalam kawasan ESSZONE.

Beliau berkata, tugas anggota berkenaan akan tertumpu kepada pengawasan dan pemerhatian terhadap aktiviti mengancam keselamatan.

Katanya, jumlah terbabit akan ditambah sehingga mencapai sasaran 1,000 anggota tahun ini dengan tugasan meliputi rondaan bersama polis dan agensi keselamatan lain di lokasi dikenal pasti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Setakat ini, kita sudah melatih 400 anggota dan akan berbincang dengan ESSCOM jika perlu tambah (keanggotaan). Kita akan membuat rondaan tidak kira di kampung, bandar dan semua kawasan meliputi ESSZONE.

“Pasukan ini menjadi mata dan telinga kepada ESSCOM kerana kita ada kekuatan, serta tenaga. Anggota dilatih adalah penduduk yang mengetahui situasi di kawasan mereka, kenal orang sekeliling dan boleh lapor jika terhidu aktiviti negatif mengancam keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Penugasan APM di ESSZONE di Dewan Sri Libaran di sini, malam tadi.

Azmy berkata, semua anggota terbabit sudah diberi pelbagai pendedahan berkaitan, termasuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan, perubatan, latihan fizikal dan mental, selain seni mempertahankan diri menggunakan t-baton.

Katanya, penugasan itu dilakukan secara bergilir membabitkan 100 anggota setiap hari di 10 daerah kawasan ESSZONE, iaitu Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Tawau, Lahad Datu, Kudat, Semporna, Pitas, Kota Marudu dan Kunak.

“Dalam jangka panjang, kita merancang memperluaskan penugasan pasukan khas seumpama ini ke Sarawak bagi mengawal kawasan sempadan.

“Walaupun (konsep) tugas (di Sarawak) agak berbeza dengan di sini kerana tiada kawasan keselamatan khas diwujudkan, kita akan melaksanakannya,” katanya.

Sebelum ini, konsep hampir sama dilaksanakan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang membantu pemantauan keselamatan di ESSZONE.

FB Komen

comments