Agenda besar untuk Sarawak

MIRI: Hubungan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang mantap serta kukuh amat penting dalam memastikan konsistensi pembangunan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tanpa hubungan baik itu, tentunya sukar membawa agenda kemajuan ke sebuah negeri sebesar Sarawak.

“Tun Dr Mahathir (Mohamad) pernah menyatakan negeri ini ada masalah untuk dibangunkan, namun saya tiada masalah kerana hubungan Persekutuan dan kerajaan negeri amat baik.

“Jika tiada jalan, kita bina jalan… saya beri peruntukan,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh lebih 10,000 tetamu yang menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Rakyat, di sini sebentar tadi. Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat, kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sarawak bermula hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa meletakkan agenda pembangunan negeri itu, termasuk dalam konteks sosio-ekonomi rakyatnya, pada tahap keutamaan tertinggi.

“Di Selangor, ia sebuah negeri yang kaya, namun kerajaan negeri itu di bawah kepemimpinan pembangkang tidak mampu menyelesaikan masalah air.

“Rakyat beri undi, namun dapat baldi (air). Jadi, jangan buat kesilapan lagi. Di Sarawak, saya jamin akan terus membangunkan negeri ini,” katanya.

Menurutnya, banyak agenda akan dilaksanakan untuk kebaikan ‘Anak Sarawak’, termasuk membangunkan rangkaian perhubungan di Kapit, selain mengembalikan pemilikan Empangan Hidroelektrik Bakun kepada kerajaan negeri.

“Empangan Hidroelektrik Bakun berada di Sarawak. Maka, kita pulangkan semula kepada Sarawak untuk kemakmuran berpanjangan negeri ini,” katanya.

FB Komen

comments