Kak Wan syor PH guna logo PKR

SETIAWANGSA: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berharap pakatan harapan (PH) akan menggunakan logo parti itu sebagai logo rasmi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ia antara rancangan jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan pendaftaran PH sebagai sebuah parti gabungan.

Sehubungan itu, Wan Azizah yang juga Presiden PH, amat gembira dengan langkah itu jika logo PKR dipilih.

“Saya amat gembira jika guna logo PKR. Insya-Allah,” katanya ringkas kepada pemberita pada sidang media selepas mengumumkan calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Fasa Pertama di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik sumber, mendakwa PH mungkin akan menggunakan logo PKR pada PRU-14.

Terdahulu, Wan Azizah mengumumkan empat calon muda untuk dipertaruhkan pada PRU akan datang iaitu Naib Ketua AMK Perak, Sandrea Ng; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; Ketua AMK Sabah, Raymond Ahuar dan Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketika ditanya media kerusi yang calon berkenaan bakal bertanding, Wan Azizah berkata ia belum diputuskan dan dijangka dimuktamadkan selepas parlimen dibubarkan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan langkah itu diambil bagi menangkis tanggapan bahawa PKR hanya untuk orang lama sahaja, walhal parti itu cukup ramai pelapis untuk diangkat sebagai pemimpin.

FB Komen

comments