Rabies ragut nyawa mangsa ketujuh

KUCHING: Virus rabies atau penyakit anjing gila yang dikesan di negeri ini sejak pertengahan tahun lalu, meragut nyawa mangsa ketujuh apabila seorang lelaki berusia 26 tahun meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) Selasa lalu.

Mangsa berusia 26 tahun dari Taman Seri Makmur, Batu 6, Matang, di sini, mempunyai sejarah digigit anjing liar pada 23 Disember tahun lalu, namun beliau tidak mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sebaliknya, mangsa hanya mendapatkan ubat dari farmasi yang berdekatan.

Beliau berkata, lelaki itu kemudiannya mengalami sakit otot, kebas serta sakit kepala dan mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 29 dan 30 Mac sebelum dirujuk ke HUS.

“Ketika dirujuk ke HUS, mangsa sudah menunjukkan gejala hydrophobia, aerophobia, sakit kepala, halusinasi lemah anggota kaki dan muka.

“Keadaannya bertambah teruk dan dia disahkan meninggal dunia pada 3 April (Selasa),” katanya dalam satu kenyataan kepada media, malam tadi.

Menurut kenyataan itu, sejak 30 Jun lalu hingga kini, terdapat lapan kes rabies yang dikesan dalam kalangan manusia.

“Tujuh daripadanya sudah meninggal dunia manakala satu kes dibenarkan keluar dari hospital untuk diberikan rawatan di rumah,” katanya.

Hingga kini, sebanyak 30 kawasan di lima bahagian di Sarawak diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan virus rabies iaitu di Serian, Sri Aman, Kuching, Samarahan dan Sarikei.

FB Komen

comments