DAP gadai maruah

KUALA LUMPUR: DAP disifatkan sebagai parti tidak berprinsip dan sanggup menggadaikan maruah apabila bersetuju menggunakan simbol PKR untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tindakan DAP menggadaikan lambang roket yang digunakan selama hampir 60 tahun jelas menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokongnya.

“DAP tidak ada prinsip kerana demi meraih undi, pemimpinnya menggadaikan lambang roket, gadaikan maruah dan prinsip untuk bersama (Pengerusi PH) Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita lihat penyokong DAP kesal dengan tindak-tanduk parti mereka ketika ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan manifesto MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir mengumumkan keempat-empat parti dalam PH iaitu PKR, DAP, Amanah dan PPBM bersetuju menggunakan simbol PKR bagi PRU-14.

Keputusan itu diambil selepas kegagalan PH didaftar sebagai pakatan untuk bertanding dalam PRU-14.

Tiong Lai berkata, keputusan DAP menggunakan simbol PKR tidak dilihat memberi tentangan hebat kepada BN atas dasar ketidaksepakatan pembangkang sebagai sebuah parti.

“Mereka tidak serasi, tiada nilai teras seperti BN dan mereka lebih melihat kepada individu kerana setiap parti mempunyai objektif masing-masing.

“Kita tahu mereka tidak konsisten, banyak buat ‘U turn’, pembohongan, suka menanam benih kebencian kepada kerajaan dan rakyat.

“Walaupun mereka putuskan untuk gunakan satu logo, kempen DAP masih gunakan simbol roket dan masih lakukan banyak kerja untuk meyakinkan ahli DAP (mengenai penggunaan simbol lain),” katanya.

FB Komen

comments