Mahkamah batal saman Ezam terhadap Najib, 1MDB

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membatalkan saman oleh bekas senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan 13 bekas Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati Mohd Ezam tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan tindakan saman itu.

Mahkamah juga dalam keputusannya memerintahkan Mohd Ezam membayar kos sebanyak RM63,000 kepada semua defendan.

Mohd Ezam memfailkan saman itu pada 14 April tahun lalu dengan menamakan 1MDB; Najib; Kerajaan Malaysia dan 13 bekas Ahli Lembaga Pengarah 1MDB berhubung dakwaan kerugian yang dialami 1MDB berjumlah AS$3.657 bilion.

Dalam writ saman dan penyataan tuntutan, Mohd Ezam mendakwa syarikat 1MDB meminjam AS$6.5 bilion dengan bantuan Goldman Sachs International Ltd yang sewajarnya dimasukkan ke akaun syarikat berkenaan.

Mohd Ezam mendakwa, semua defendan bertindak secara melulu dengan menyebabkan sejumlah AS$3.657 bilion dibayar kepada pihak yang tidak berhak hingga menyebabkan kerugian kepada syarikat 1MDB.

Oleh itu, plaintif menuntut kesemua defendan menanggung kerugian syarikat 1MDB dengan membayar sejumlah AS$3.657 bilion kepada syarikat berkenaan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

FB Komen

comments