SPR dijangka umum tarikh penamaan calon, buang undi esok

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan persiapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk hari penamaan calon dan pengundian.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu jemputan media oleh SPR hari ini.

Jemputan itu turut memaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah akan mempengerusikan mesyuarat itu pada pukul 10 pagi.

Sidang akhbar pula diadakan pada pukul 12 tengah hari.

Pengerusi SPR, Tan Sri Hashim Abdullah sebelum ini memberitahu pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh writ dan notis pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya dan persiapan lain yang diperlukan bagi membolehkan PRU14 diadakan.

Beliau juga memberitahu SPR akan mengadakan mesyuarat selepas semua DUN seluruh negara dibubarkan bagi mengadakan pilihan raya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada Sabtu (7 April 2018).

Pembubaran Parlimen yang diperkenan oleh Yang di Pertuan Agong itu dibuat lebih sebulan sebelum mandat Barisan Nasional (BN) yang diperolehi pada PRU13 berakhir.

PRU14 dijangka menyaksikan saingan sengit di antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan PAS di beberapa negeri khususnya Selangor, Kedah, Johor, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Pada PRU13, BN memenangi 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Kali ini Najib melahirkan keyakinan BN akan memperolehi semula majoriti dua pertiga yang hilang pada PRU2008 sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

FB Komen

comments