SPRM: Hanya BN hantar senarai calon

PUTRAJAYA: Hanya Barisan Nasional (BN) yang menghantar senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disaring untuk memastikan mereka bersih daripada amalan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, sehingga kini pihaknya masih tidak menerima senarai calon PRU-14 daripada parti pembangkang.

“Tugas SPRM hanya menyaring senarai calon dan kita menyerahkan laporan kembali berhubung status calon kepada parti itu”

“Terpulang kepada parti untuk mengambil selanjutnya sama ada layak bertanding atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan bilik gerakan PRU-14 SPRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, pihaknya menjangkakan akan menerima lebih banyak senarai calon PRU-14 selepas ini.

Katanya, pihaknya telah menyerahkan laporan saringan calon-calon kepada BN.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh mendedahkan status laporan itu kerana ia tertakluk di bawah Akta Kerahsiaan,” katanya.

FB Komen

comments