8 ‘Jaminan orang muda’ dari BN

KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto khusus kepada golongan muda yang mencakupi segala visi dan keperluan kumpulan itu selaras dengan perkembangan semasa ter­utama membabitkan tekanan kos hidup serta cabaran membina keluarga.

Atas rasa tanggungjawab untuk membantu golongan itu, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin menjelaskan, se­bab itu beliau bersama jentera pe­muda parti melihat perlunya ada manifesto yang difokuskan kepada orang muda yang dilancarkan dengan nama Jaminan Orang Muda.

Semasa membentangkan ma­ni­festo berkenaan, Khairy menyenaraikan lapan jaminan diberikan iaitu menjamin pekerjaan dan la­tihan orang muda; meningkatkan pendapatan dan kemahiran pekerja muda; memperkasa ekonomi belia luar bandar dan memudahkan usahawan muda mendapat bantuan; meringankan beban keluarga muda; menyediakan kehidupan berkualiti; memastikan peluang untuk segenap segmen dan me­ngangkat idea ge­nerasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Mungkin ada yang bertanya kenapa sekarang dan bukannya lima tahun dulu. Jawapannya, kami sudah buat sebanyak mungkin yang kami terdaya untuk orang muda Malaysia, maka tidak salah rasanya jika ingin memperbaharui khidmat bakti ini untuk lima tahun akan datang.

“Hujah menyatakan bila tiba pilihan raya baru hendak membuat janji adalah cetek dan dangkal kerana pada masa inilah kita memperbaharui visi dan perancangan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan manifesto tersebut di hadapan kira-kira 5,000 pe­muda yang hadir ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Kata Khairy, beliau sendiri te­lah bertemu dengan Perdana Men­teri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan amanat serta sokongan yang juga mahukan Pemuda BN tampil merencanakan masa hadapan Malaysia serta ke­perluan golongan muda.

Sebagai Menteri Belia dan Sukan katanya, dia amat memahami keperluan orang muda dan seandainya sudah berpuas hati de­ngan pencapaian yang telah dikecapi, Khairy menganggap beliau bukan menteri yang baik.

“Saya berada bukan di sini untuk sembang kosong, menjanjikan anda bulan dan bintang atau janji madu beracun yang tidak mungkin dapat dilaksanakan.

“Tetapi apa yang telah kami bentangkan pada hari ini adalah jaminan yang boleh kami laksanakan. Saya telah berjumpa Perdana Menteri dan beliau berkata, saya boleh mewakili BN untuk memberi lapan jaminan ini kepada orang muda,” katanya.

Antara yang diumumkan oleh Khairy ialah mahu meningkatkan gaji pekerja, memudahkan golo­ngan muda mendirikan dan membina rumah tangga, mencipta peluang pekerjaan di kawasan luar bandar serta menyediakan peluang kepada orang kurang upaya (OKU) dan golongan tersisih mendapat peluang bagi memperbaiki diri.

FB Komen

comments