BN mampu buat perubahan di Langkawi

LANGKAWI: Pengundi Langkawi perlu memilih sama ada untuk terus mengekalkan kuasa kepada parti yang sudah terbukti mampu membawa pembangunan di pulau peranginan itu sebaliknya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tambahnya, pengundi perlu bijak membuat pilihan kerana tiada individu yang dapat membawa pembangunan tanpa sokongan kuat daripada kerajaan.

Justeru, beliau berkata, pengundi di Langkawi perlu terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO untuk memastikan kesinambungan pembangunan yang diperlukan penduduk pulau ini.

“Komitmen saya bagi pihak BN ialah macam mana nak majukan Langkawi dan selama ini Langkawi maju kerana perjuangan UMNO serta BN.

“Jika hanya kerana peribadi, tidak mungkin Langkawi boleh maju. Orang kata, telan air liur saja tidak boleh. Saya tidak kuat tetapi dengan UMNO dan BN di belakang, saya boleh buat perubahan di Langkawi,” katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Tambah Pengerusi BN itu lagi, keprihatinan kerajaan kepada rakyat Langkawi amat jelas apabila masalah di Pulau Tuba yang sebelum ini tidak ditangani pemimpin terdahulu berjaya diselesaikannya.

“Saya tidak pernah tinggal orang Langkawi…Pulau Tuba sudah dua kali saya pergi, cuba bayangkan masalah elektrik yang berapa lama tidak selesai di Pulau Tuba, zaman saya kita dapat selesaikan. Kita beri kabel bawah tanah kini 24 jam ada elektrik.

“Malah waktu saya minum teh bersama rakyat, mereka maklum harga RON95 di Pulau Tuba tinggi berbanding tempat lain. saya telefon Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa hari kemudian selesai masalah itu,” katanya.

Beliau berkata, keprihatinan terhadap Langkawi juga jelas apabila kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion bagi pembangunan pulau itu.

Katanya, ia merangkumi RM500 juta bagi menaik taraf Hospital Langkawi dan RM600 juta untuk projek mengatasi masalah air di Padang Mat Sirat.

Selain itu, Najib berkata, susulan pengumuman menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, kerajaan juga akan membina jambatan udara (aerobridge).

Ketika lawatan kerjanya ke Langkawi Februari lalu, Najib mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk lima projek infrastruktur bagi pulau itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Antara lain, RM600 juta diperuntukkan untuk meningkatkan bekalan air bersih ke pulau itu termasuk dengan membina kemudahan tadahan air di Padang Mat Sirat, pembinaan balai bomba baru dan kuarters kakitangan kerajaan, manakala RM50 juta lagi untuk menaik taraf jalan raya berdekatan bulatan PULAPOL dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

FB Komen

comments