Mahkamah tolak rayuan Anwar larangan sentuhan fizikal

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengenepikan keputusan Pengarah Jabatan Penjara dan dua lagi yang tidak membenarkan sentuhan fizikal dengan ahli keluarga ketika lawatan di penjara.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan oleh Anwar dan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan itu.

BH Online dipetik sebagai berkata  Hakim Ahmadi memutuskan bahawa permohonan itu tidak mempunyai merit, tidak munasabah dan tidak berasas.

Turut bersidang bersama adalah Datuk Ong Lam Kiat Vernon dan Datuk Suraya Othman.

Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

Manakala Anwar dan ahli keluarganya diwakili peguam N Surendran, Latheefa Koya, Sanjeet Kaur, Shahid Adli Kamaruddin.

Pada 18 Mei 2016, Anwar, 70, dan keluarganya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Pengarah Jabatan Penjara dan dua lagi untuk mencabar sekatan bagi sentuhan fizikal ketika lawatan di penjara.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu pada 14 Mac tahun lalu.

Selain Anwar, turut dinamakan sebagai plaintif adalah isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 65, serta anaknya Nurul Izzah, 37, Nurul Nuha, 33, Nurul Ilham, 30, dan Nurul Iman, 27.

Empat cucunya iaitu anak kepada Nurul Izzah dan Nurul Nuha turut dinamakan sebagai plaintif.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan bakal dibebaskan Jun ini.

FB Komen

comments