Tan Seng Giaw kritik DAP guna logo PKR

KUALA LUMPUR: Penyandang Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengkritik keputusan DAP yang memutuskan untuk menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Seng Giaw berkata, kepimpinan tertinggi DAP sepatutnya mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan untuk menggunakan logo PKR.

Ini kerana menurut bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu, tindakan berkenaan akan memberi impak negatif pada parti.

“Susah payah 52 tahun berakhir dengan sekelip mata sahaja apabila simbol menjadi dua bulan sabit pula, merah jadi biru kerana ditukar warna.

“Masalahnya, sama ada rakyat akan terima atau penyokong turut bersetuju (dengan tindakan tersebut).

“Apakah simbol ini akan hilang selama-lamanya atau akan digunakan lagi. Kalau boleh ubah simbol sekelip mata, apa lagi tidak boleh dibuat di dalam negara.

“Benda yang terpenting pun boleh diubah dengan begitu sahaja, ini masalah apabila manusia pandai-pandai (buat keputusan),” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.

DAP menggugurkan Seng Giaw daripada menjadi calon pada PRU14 selepas 36 tahun beliau menjadi wakil rakyat di Kepong.

Kerusinya itu akan digantikan oleh anggota parlimen Segambut sementara Lim Lip Eng.

FB Komen

comments