PM terima penghargaan khas Imam Besar Masjid al-Aqsa

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima surat penghargaan Masjid Al-Aqsa di atas segala jasa dan sokongan berterusan kerajaan serta rakyat Malaysia terhadap perjuangan Masjid Aq-Aqsa dan Palestin selama ini.

Surat penghargaan itu di­sampaikan oleh Imam Besar Masjid Al-Aqsa yang juga merupakan bekas Mufti Pa­lestin, Sheikh Dr. Ekrima Saed Sabri dalam majlis sam­butan Israk Mikraj Peringkat Kebangsaan 1439/2018M.

Najib berkata, Masjid Al-Aqsa merupakan lambang pe­nyatuan bersama dalam isu akidah dan kemanusiaan, oleh itu, semua pihak harus bertekad dan istikamah untuk mempertahankan serta memperjuangkan kebebasan Palestin.

“Saya ingin mengajak seluruh rakyat bersatu tanpa kira latar belakang, fahaman dan warna kulit dalam usaha membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Palestin daripada cengkaman zionis,” katanya ketika merasmikan sambutan Israk Mikraj Peringkat Kebangsaan 1439/2018M.

Sambutan Israk Mikraj Peringkat Kebangsaan 1439/2018M yang disertai lebih 1,000 tetamu itu dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Yayasan MyAQSA (MyAQSA) dan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini.

Dalam pada itu, Sheikh Dr. Ekrima ketika berucap berkata, pihaknya amat menghargai bantuan dan sokongan berterusan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan pembebasan Palestin daripada rejim Zionis.

FB Komen

comments