4,000 ahli keluar PPBM tak puas hati Amanah dapat DUN Alor Mengkudu

ALOR SETAR: Seramai 4,000 ahli PPBM dari Alor Mengkudu bertindak keluar parti sebagai tanda protes agihan kerusi dalam kalangan pakatan pembangkang, yang diumumkan Amanah malam tadi.

Bukan itu sahaja malah 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan DUN Alor Mengkudu juga dibubarkan sebagai bantahan kepada pencalonan Timbalan Pengerusi Amanah Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dipilih sebagai calon mewakili DUN itu.

Mereka kemudian mengambil keputusan menyertai Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta dengan memakai baju biru sebagai simbolik keluar parti.

Jurucakap 15 PDM itu, Muhamad Rizal Zainol Abidin, berkata pihaknya kesal dan tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi DUN serta Parlimen pakatan pembangkang membabitkan PPBM, Amanah, PKR dan DAP di Kedah.

Beliau yang juga Ketua PDM Alor Melintang berkata, mereka tidak menyangka selepas bekerja keras hampir dua tahun dengan menyiapkan jentera dan merekrut keahlian PPBM dalam kalangan penduduk, tiba-tiba kerusi DUN Alor Mengkudu diserahkan kepada calon Amanah.

“Sepatutnya kerusi ini diberi kepada calon PPBM, tetapi ia jadi sebaliknya apabila diberi kepada pemimpin yang tidak pernah memberikan khidmat kepada pengundi DUN di sini selama ini.

“Ini jelas satu pengkhianatan kepada kami dari 15 PDM yang sebelum ini sudah dipersetujui berhubung agihan kerusi bahawa DUN Alor Mengkudu diberi kepada PPBM. Ini helah politik yang menjengkelkan dan tidak berpaksikan keadilan dengan mengetepikan sumbangan pihak PPBM,” katanya pada sidang media di majlis Kenduri Rakyat DUN Alor Mengkudu, di Jalan Datuk Kumbar di sini, hari ini.

Susulan itu, Muhamad Rizal berkata, pihaknya memutuskan untuk membubarkan semua 16 PDM PPBM dan jentera Pilihan Raya PPBM DUN Alor Mengkudu.

FB Komen

comments