Pelaburan China di Malaysia hanya 11.5 peratus

SHAH ALAM: Jika benar kedaulatan negara akan tergadai, bukan kepada China tetapi sebaliknya Singapura atau Jepun, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Ini kerana, jumlah pelaburan Malaysia di dua negara itu jauh lebih tinggi berbanding China, tegas Abdul Rahman sebagai respon dakwaan pembangkang mengatakan negara akan tergadai dengan CHina.

“Setakat tahun lalu, jumlah terkumpul pelaburan China (termasuk Hong Kong) di Malaysia bernilai RM65 bilion, ketiga tertinggi selepas Singapura dan Jepun.

“Ini lebih rendah daripada jumlah terkumpul pelaburan Singapura (RM116.3 billion) dan Jepun (RM71.6 billion). Jumlah pelaburan China di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di bawah Singapura dan Jepun.

“Menurut logik pembangkang, kedaulatan Malaysia sepatutnya terjual kepada Singapura dan Jepun dahulu kerana jumlah pelaburan mereka yang lebih besar jika dibandingkan dengan jumlah pelaburan yang dibuat oleh China dalam negara kita,” katanya menerusi kenyataan medianya.

Abdul Rahman menjelaskan Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan sudah tentu akan menerima pelaburan dari luar negara tetapi tidak terhad kepada China sahaja.

Tambahnya, jumlah pelaburan asing terkumpul di Malaysia sehingga 2017 adalah RM565 billion.

Pelaburan dari China hanyalah mewakili 11.5 peratus daripada jumlah pelaburan asing di Malaysia.

Malaysia juga menerima pelaburan dari negara-negara Eropah seperti Belanda, Switzerland, Jerman, United Kingdom, Denmark dan juga Amerika Syarikat.

“Baru-baru ini syarikat Saudi Aramco dari Arab Saudi bersetuju melabur 7 bilion US Dollar (RM27 bilion) di dalam Projek RAPID Pengerang.

“Saya yang terlibat secara langsung di dalam rundingan bersama-sama Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid al-Falih mendapat maklum balas yang positif dari pihak mereka tentang ekonomi Malaysia,” katanya.

Justeru Abdul Rahman mahu rakyat membuka mata dan menilai fakta yang ditabur pembangkang, agar tidak semberono mempercayai segala tohmahan yang dibuat terhadap kerajaan.

FB Komen

comments