Shahrizat tolak Bandar Tun Razak

SHAH ALAM: Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, sebentar tadi mengumumkan beliau juga tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau menerusi status yang dimuat naiknya di Facebook berkata tidak akan menerima tawaran untuk bertanding di Parlimen itu walaupun kawasan itu boleh dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN) daripada PKR.

“Ramai yang tanya saya adakah saya akan terima tawaran untuk bertanding di Parlimen Tun Razak? Jawapan saya tidak, walaupun Bandar Tun Razak adalah satu kawasan di mana Barisan Nasional boleh menang dan tewaskan PKR,” katanya.

Sebelum ini, Shahrizat dikatakan akan dicalon bertanding di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang secara tradisinya ditandingi wakil daripada MCA.

Ianya tersebar selepas Shahrizat menolak tawaran bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar sebelum ini.

Pada PRU-13, wakil MCA kalah kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan majoriti 11,832 undi.

Abdul Khalid, 72, menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas keluar dari PKR dan difahamkan tidak akan mempertahankan kedudukannya di situ pada PRU-14.

FB Komen

comments