Tuan mangsa bom ikan

JELI: Dua lelaki cedera selepas bom ikan buatan sendiri meletup secara tiba-tiba di Kampung Seting Lubok Bongor, di sini.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu menyebabkan seorang mangsa berusia 35 tahun putus pergelangan tangan kiri dan hancur tiga jari kanan manakala rakannya berusia 30 tahun cedera di dagu.

Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan membungkus bom berkenaan di rumah rakan mereka sebelum ke sungai berhampiran untuk menangkap ikan.

Seorang penduduk, Zaini Mamat, 55, mendakwa terdengar letupan yang dikatakan mencecah jarak kira-kira satu kilometer.

“Sebaik diberitahu rakan ia adalah bom ikan, saya bergegas ke tempat kejadian tetapi kedua-dua mangsa sudah dibawa ke klinik berhampiran,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mangsa dihantar ke Hospital Jeli sebelum masing-masing dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Tanah Merah untuk menerima rawatan lanjut, lewat petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintenden Mohd Yusoff Jaafar, mengesahkan kejadian itu tetapi belum menerima laporan lengkap mangsa.

“Kita masih menunggu perkembangan keadaan mangsa bagi mengambil keterangan untuk menjalankan siasatan,” katanya.

FB Komen

comments