Hadi hanya akan bertanding kerusi Parlimen

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebaliknya hanya akan bertanding kerusi Parlimen.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang memberitahu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan beliau sendiri juga hanya akan bertanding di kerusi Parlimen.

“Nama-nama calon sudah dimuktamadkan dan PAS akan bertanding tidak kurang 160 kerusi Parlimen pada PRU-14 dan kita sedang memuktamadkan beberapa kerusi membabitkan pihak dalam gabungan Gagasan Sejahtera.

“Tidak lebih 10 calon akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN selain 35 peratus calon yang akan bertanding kelak terdiri daripada golongan muda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, hari ini.

FB Komen

comments