Larangan kempen politik di masjid, surau Selangor

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan pekeliling rasmi berhubung larangan menggunakan masjid dan surau untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin, berkata pekeliling itu dikeluarkan selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku ketua agama Islam negeri berkenaan.

“Justeru, semua Jawatankuasa Kariah Masjid dan Jawatankuasa Surau perlu mengambil perhatian dalam memastikan masjid dan surau sebagai pusat ibadat, pusat ilmu, pusat penyatuan ummah zon aman dan bebas politik kepartian seperti dinyatakan dalam Peraturan 18 (1) dan Peraturan 30 (1) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2017.

“Mereka perlu melarang sebarang bentuk ceramah, tazkirah dan penerangan mengandungi elemen kempen bagi parti politik tertentu dalam dewan solat utama atau dalam kawasan masjid atau surau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga meminta jawatankuasa masjid memastikan dewan solat dan kawasan masjid serta surau tidak dijadikan medan mengedar atau menjual penerbitan mengandungi fahaman, ideologi atau doktrin yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan kepada Sultan Selangor, kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri serta permusuhan antara kaum seperti larangan Peraturan 70 (2) (d).

Katanya, masjid dan surau tidak boleh dijadikan tempat kegiatan politik dan yang boleh memecah-belahkan perpaduan ahli kariah, selain larangan menggantung atau memacak bendera politik di bangunan utama, kawasan masjid termasuk pagar masjid.

“Jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan khatib solat Jumaat adalah imam lantikan masjid yang menerima tauliah Sultan Selangor atau imam rawatib yang dilantik pihak masjid atau surau solat Jumaat.

“Khatib jemputan tidak dibenarkan kecuali selepas mendapat kebenaran pihak JAIS,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim, berkata semua sekolah agama kelolaan jabatan berkenaan diberi cuti peristiwa khas sempena PRU14 berikutan kebanyakan institusi itu digunakan sebagai pusat mengundi.

“Sekolah berkenaan termasuk prasekolah JAIS, Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Kelas al-Quran, Fardhu Ain (KAFA) Integrasi dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS).

“Cuti khas ini tidak membabitkan penutupan asrama bagi sekolah berasrama manakala bagi sekolah yang menjalankan dua sesi, sesi petang pada 8 Mei perlu ditangguhkan bagi memberi laluan kepada persiapan PRU14,” katanya.

FB Komen

comments