Bomba tangkap ular sawa sepanjang tujuh meter

KUANTAN: Seekor ular sawa sepanjang tujuh meter berjaya ditangkap oleh pasukan bomba ketika sedang menjalar di padang tembak, Jalan Penor-Ubai di sini, awal pagi tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harun, ular seberat lebih 100 kilogram berkenaan ditangkap kira-kira jam 2.13 pagi tadi.

Menurutnya, ular berkenaan mengalami kecederaan selepas dipercayai dilanggar kenderaan ketika melintas jalan berkenaan.

“Bagaimanapun kelibat ular sawa itu sedari oleh pengguna jalan raya yang lain sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan.

Sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan dan apabila sampai memang terdapat seekor ular sawa sedang menjalar di padang berdekatan jalan, namun ia berada dalam keadaan lemah.

“Pada mulanya anggota ingin menghalau ular berkenaan ke dalam hutan berhampiran, namun disebabkan ia mengalami kecederaan, kita terpaksa membawanya pulang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk menangkap dan membawa pulang ular berkenaan kerana ia terlalu besar serta agak agresif walaupun mengalami kecederaan.

Katanya, haiwan berkenaan kemudian diserahkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pagi ini.

FB Komen

comments