30 kerusi DUN target BN Selangor

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor yakin memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekaligus menubuhkan kerajaan negeri baru, kata Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Antara lain keyakinan itu berdasarkan persaingan tiga penjuru antara BN, PH dan PAS yang dijangka memberi kelebihan kepada calon-calon BN, tambah beliau.

“Saya lihat dan yakin minimum 30 kerusi kita boleh menang. Persiapan BN selama lima tahun ini ialah persiapan untuk kita menghadapi dua penjuru. Tetapi kalau berlaku tiga penjuru saya lihat ada kelebihan kepada BN.

“Ada juga kawasan-kawasan saya tengok mungkin ada juga cabaran kepada BN, tetapi pada keseluruhannya saya lihat kerana kekuatan BN di seluruh negeri Selangor ini, ia purata ialah 40%.

“Jadi kita kalah kerana bila pergi dua penjuru kekuatan parti lawan lebih sedikit daripada kita tetapi hari ini apabila jadi tiga penjuru atau lebih saya lihat akan memberi kelebihan kepada kita,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman nama calon Parlimen dan DUN Selangor, hari ini.

Noh bertegas keutamaan kini adalah merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) dan PAS justeru BN tidak akan melayan sebarang pertanyaan mengenai siapakah calon menteri besar daripada partinya.

“Kita kena hormati perlembagaan Malaysia dahulu, kita lihat dalam pelantikan menteri besar ini mesti dapat perkenan Sultan Selangor.

“Kita sudah tengok apabila PKR dia terlupa perlembagaan negeri Selangor beria-ria nak lantik negeri Selangor buat langkah Kajang tetapi apabila lantikan itu akhirnya mesti mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, akhirnya kita mesti pegang dari segi perlembagaan dan kuasa Sultan Selangor.

“Jadi biarlah kita bertanding dulu, kita menang dan saya yakin senarai-senarai ini nanti, ramalan kita juga boleh buat dua atau tiga orang kita boleh ramal tetapi apa pun akhirnya kita kena mendapat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya.

Sebelum ini, timbul khabar angin bahawa parti itu bakal mengetengahkan tiga calon yang berpotensi untuk jawatan nombor satu di Selangor.

Tiga calon itu adalah ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, ADUN Dengkil, Shahrom Mohd Sharif dan ADUN Sungai Panjang, Datuk Budiman Mohd Zohdi.

Pada PRU lepas, BN hanya berjaya menang di 12 kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen di negeri tersebut.

FB Komen

comments