BN perlu kuasa politik untuk majukan luar bandar

LIPIS: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan mahu meneruskan agenda pembangunan luar bandar yang masih banyak perlu dilakukan.

Perdana Menteri berkata, Barisan Nasional (BN) perlu diberi kuasa politik bagi tujuan itu sebagai kesinambungan agenda pembangunan luar bandar yang diperjuangkan ayahandanya yang juga Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bagi memastikan penduduk menikmati kehidupan lebih baik.

Pengerusi BN itu berkata, masih banyak perlu dilakukan dan ia hanya boleh dilaksanakan apabila BN mempunyai kuasa politik dan mandat besar daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tiada makna jika kita tiada kuasa politik, Putrajaya milik orang lain…dalam pembangkang kuasa mutlak di tangan DAP, sebab itu pilihan raya kali ini bukan pertembungan antara Najib dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi BN ditunjangi UMNO dengan pembangkang dinaungi DAP.

“Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dulu kata DAP ini parti anti-Islam, ingat kita (rakyat) boleh minta dengan dia (DAP)? Macam di Lipis ini, mereka minta loji air dan kompleks sukan, dengan saya petik sikit pun jadi.

“Saya mewakili parti yang berakar umbi di kawasan seperti Lipis (luar bandar) dan saya duduk di Putrajaya kerana penyokong tegar (BN) seperti di Lipis, kita kena tengok asas politik dan sebab itu saya datang ke sini,” katanya berucap pada majlis perjumpaan bersama rakyat di perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Dalam ucapannya itu, Najib turut menempelak pembangkang yang hanya bersandiwara untuk mendapat keuntungan politik termasuk dengan memilih Dr Mahathir calon Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi PRU-14.

“Pembangkang banyak bersandiwara dan berlakon, tengok saja sekian lama, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan (mendiang) Karpal Singh kata macam-macam dekat dia, dulu kata hendak hadapkan Dr Mahathir ke mahkamah tetapi sekarang hendak angkat jadi Perdana Menteri pula.

“Mereka tidak ikhlas, hati kata lain tetapi mulut kata lain, kita tidak boleh terima pembangkang macam ini,” katanya.

Najib berkata, pembangkang juga sebelum ini menghina dan mencerca rakyat dengan menyamakan pemberian pelbagai bantuan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai dedak.

“Sekarang mereka buat pusingan U dan sebut dalam manifestonya bahawa BR1M akan diteruskan. Mereka buat begitu sebab orang marah jika tidak dapat BR1M, siapa hendak bagi RM800.

“Zaman kini kita jaga kebajikan rakyat sampai ke dapur, anak yang dilahirkan dapat RM200 menerusi ADAM50, penjawat awam pun dapat kenaikan gaji satu peringkat khas,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan peruntukan projek naik taraf loji rawatan air Benta Fasa 2 dan pembinaan kompleks sukan bernilai RM10 juta di Kechau, Lipis.

Selepas majlis perjumpaan bersama rakyat itu, Najib kemudian singgah ke Hospital Kuala Lipis untuk meninjau kemudahan perkhidmatan mesin pengimbasan tomografi berkomputer (ct scan) bernilai RM3 juta di hospital berkenaan.

Peruntukan menyediakan mesin berkenaan diluluskan Perdana Menteri ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Lipis pada Julai tahun lalu.

FB Komen

comments