Kementerian Kewangan nafi mesej viral babit perbelanjaan Rosmah

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan, hari ini, menafikan mesej tersebar di media sosial mengenai dakwaan perbelanjaan kerajaan membabitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam satu kenyataan, kementerian memaklumkan maklumat yang viral itu adalah palsu dan tuduhan dibuat itu tidak berasas serta berniat jahat bagi mengaitkan kementerian berkenaan sebagai sumber rujukan.

“Kementerian Kewangan kesal dengan penyebaran maklumat berkenaan dan sudah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, seorang individu mendakwa kerajaan mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi kek sambutan hari jadi Rosmah dan kos memasang dua sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat beliau di Putrajaya.

Individu terbabit mendakwa sumber maklumat berkenaan diperoleh daripada seorang rakannya yang bertugas di Kementerian Kewangan.

Selain itu, individu terbabit turut mendakwa kononnya kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM70.1 juta sehari habis dicuri dan tidak dijumpai dalam Perbendaharaan Negara.

FB Komen

comments