Pemimpin ‘primadona’ tiada tempat dalam UMNO

KUANTAN: UMNO tidak mempunyai tempat untuk pemimpin berlagak seperti ‘primadona’ sehingga sanggup membuat pertikaian secara terbuka selepas tidak diumumkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata pemimpin berkenaan perlu mengambil contoh ahli Pemuda UMNO kerana masih terus setia dan akur dengan keputusan kepemimpinan parti walaupun tidak terpilih calon PRU-14 .

Beliau yang akan mempertahankan Parlimen Rembau pada pilihan raya kali ini berkata, ramai ahli Pemuda mahu menjadi calon tetapi tidak dipilih, namun mereka terus berada di kawasan masing-masing untuk membantu calon bertanding.

“Ini semangat yang kita mahu, bukannya tulis macam-macam dalam media sosial, mempertikaikan sistem calon dinilai dan dipilih. Kita kena terima, jangan jadi seorang yang kurang matang.

“Tidak ada tempat untuk ‘primadona’ iaitu pemimpin yang tidak dapat jadi calon dan membuat pertikaian secara terbuka, ia sikap tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Fasa 2 Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pemimpin lain yang tidak dipilih diharap dapat membantu Barisan Nasional (BN) kerana perkara lebih penting adalah kemenangan parti.

FB Komen

comments