Dua lagi pencalonan wakil PKR ditolak

KEPALA BATAS: Calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga, Yaakob Osman mendakwa terkejut apabila diisytiharkan muflis ketika mengemukakan borang penamaan calon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
Beliau yang juga Ketua Informasi PPBM negeri berkata, ini kerana beliau telah melakukan semakan sebanyak dua kali berhubung perkara itu termasuk semalam.
“Saya bawa harapan orang Penaga. Itu yang saya kecewa (borang penamaan ditolak).
“Saya tak jangka perkara ini akan berlaku dan saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan lanjut,” katanya.
Penolakan pencalonan itu bermakna, kerusi Penaga menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zain Ahmad dengan calon PAS, Yusni Mat Piah.
Sementara itu, di Johor, seorang wakil PH dibatalkan kerana masalah dokumentasi. Calon PPBM, Pizi Jihat yang bertanding di kerusi DUN Bukit Pasir, dilaporkan hilang kelayakan kerana masalah dokumentasi.
Dengan keputusan itu, DUN Bukit Pasir akan menyaksikan pertandingan langsung antara calon BN Noriah Mahat dan calon PAS Najib Lep.
Selain itu pencalonan Tian Chua untuk bertanding di Parlimen Batu turut ditolak kerana kes mahkamahnya.
Ekoran penolakkan itu, SPR pada jam 11.45 pagi mengumumkan hanya empat calon iaitu, V M Panjamothy dari Parti Bebas, Dominic Lau Hoe Chai (BN),P. Prabakaran (Bebas) dan Azhar Yahya (Pas) akan bertanding di Parlimen itu.

\

FB Komen

comments