Anggota PPBM bertanding sebagai calon Bebas akan dipecat

MUAR: Anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan dipecat daripada parti, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perlembagaan parti memperuntukkan mana-mana anggotanya yang bertanding tanpa kebenaran parti boleh dipecat.

“Ini satu perkara yang tak boleh kita benarkan kerana mereka sudah mengkhianati perjuangan parti.

“Mereka telah melanggar disiplin parti, apatah lagi mereka telah membuat sesuatu yang menimbulkan masalah kepada parti komponen yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah di Bakri malam Sabtu.

Beliau ditanya mengenai tindakan Naib Ketua Bahagian PPBM, Hang Tuah Jaya Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Melaka.

Dilaporkan Kamarolzaman berbuat demikian selepas kecewa tidak dicalonkan di kawasan berkenaan walaupun telah dijanjikan oleh pucuk pimpinan.

Kerusi itu diserahkan kepada PKR dan pada PRU14 ini, DUN Ayer Molek menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Kamarolzaman, Rahmad Mariman (Barisan Nasional), Jantan Abdullah (PAS) dan Farhan Ibrahim @Alias (PKR).

FB Komen

comments