Kesinambungan pendemokrasian pendidikan jika BN kekal mentadbir

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, prinsip pendemokrasian pendidikan akan terus disuburkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) jika diberi mandat untuk menerajui pentadbiran negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri berkata, prinsip berkenaan semakin hari semakin menjadi realiti yang mana taraf dan akses kepada kualiti pendidikan itu menjadi sesuatu milik rakyat di negara ini.

“Insya-Allah jika kita diberi mandat lima tahun yang akan datang, usaha ini kita akan teruskan sebagai satu kesinambungan.

“Umpamanya yang terbaru semasa saya melancarkan Manifesto BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-14, saya telah muatkan dalam manifesto tersebut bantuan sekali beri sebanyak RM1,500 untuk anak-anak penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mendaftar di institusi pengajian tinggi,” katanya dipetik Utusan Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru dan Kecemerlangan Pendidikan Pekan di Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom.

FB Komen

comments