30 laporan polis diterima sepanjang penamaan calon

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 30 laporan polis dari seluruh negara sepanjang Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) yang berlangsung dua hari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 16 laporan adalah berkaitan penggunaan dron yang diterbangkan tanpa permit sah dari pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Sebanyak 16 dron telah dirampas kerana digunakan tanpa permit di sepanjang tempoh penamaan calon. Kita benarkan penggunaan dron tapi perlu mendapatkan permit dari DCA, katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya turut menerima beberapa lagi laporan antaranya daripada calon Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN), Dr. Streram Sinnasamy.

“Beliau telah membuat laporan polis mengenai dakwaannya bahawa kita tidak membenarkan beliau memasuki pusat penamaan calon Rembau, Negeri Sembilan. Perkara itu adalah tohmahan semata-mata kerana pihak polis hanya menerima arahan daripada pegawai pilihan raya.

“Dua laporan polis telah diterima mengenai perkara itu dan kita akan jalankan siasatan terperinci,” ujarnya.

FB Komen

comments