Calon Bebas dilanggar kereta

JOHOR BAHRU: Calon Bebas yang bertanding di Parlimen Pulai, Yap Keng Tak cedera ringan selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Myvi ketika sedang mengedar risalah kempen di Jalan Indah 5/13 Taman Bukit Indah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian berlaku pukul 8.45 ketika Keng Tak sedang berjalan kaki melintasi simpang menuju ke Kuil Sri Maha Mariyaman Bukit Indah bersama lima orang pengikutnya.

“Mangsa (Keng Tak) tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya cedera ringan. Dia telah mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Bukit Indah dan dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi, lapor Utusan Online.

Keng Tak bertanding di kerusi Parlimen Pulai menentang penyandang kerusi berkenaan, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mewakili Barisan Nasional (BN), Salahuddin Ayub (gabungan pembangkang PKR) serta Dr. Mohd. Mazri Yahya (PAS).

FB Komen

comments