Sanjeevan dibebas dan dilepaskan tuduhan peras ugut

SEREMBAN: Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk R Sri Sanjeevan dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, daripada tuduhan menjalankan ugutan jenayah dan pemerasan terhadap pengendali judi ekor haram, dua tahun lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sri Sanjeevan.

Mohd Zaki dalam penghakimannya memaklumkan sudah mendengar keterangan 12 saksi dan keterangan diberi gagal membuktikan kes berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Sri Sanjeevan didakwa melakukan pemerasan hingga menakutkan Goh Toh Hon, 38, apabila mendedahkan aktiviti haram yang dikendalikan, sehingga mendorong dia menyerahkan wang tunai RM25,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Plaza Tol Nilai, dekat sini, pada 22 Jun 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd Saad manakala tertuduh diwakili peguam, Gobind Singh Deo dan S Prakash.

Beliau ditemui menzahirkan kesyukuran apabila keputusan mahkamah memihak kepadanya.

“Sudah dua tahun saya menderita dan syukurlah kebenaran akhirnya terbukti,” katanya.

FB Komen

comments