TPM berpuas hati dengan kerja keras BN Selangor

KUALA LANGAT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan semangat berpasukan serta kerja keras yang ditunjukkan jentera Barisan Nasional (BN) Selangor dan yakin Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei, parti itu akan kembali berkuasa di negeri ini.

Beliau berkata, keyakinan tersebut bukan sahaja bersandarkan kepada perpaduan dan kesungguhan parti tetapi setelah melihat rakyat negeri ini sudah mula bosan dengan 1001 masalah khususnya isu air yang gagal diselesaikan kepemimpinan pembangkang walapun telah dua penggal memegang kuasa.

“Saya harus bagi pujian kepada Noh (Tan Sri Noh Omar) yang kuat bekerja untuk memastikan kita menang, seluruh jentera parti juga mempamerkan semangat perang yang tinggi dan inilah saat terbaik untuk kita merampas Selangor. Dua kali terpalit lumpur sudah cukup menyedarkan kita.

“Kita akan berikan satu kehidupan lebih baik kepada rakyat kerana semua hasil negeri ini, kita yang tanam tetapi mereka datang dua penggal lalu untuk kutip hasil, tapi kali ini, kita pastikan hasil kita tanam, kita yang tuai,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama penduduk di Pulau Carey.

FB Komen

comments